Sabtu, 18 April 2020

Roh Ibu Berterbangan Cari Bayi Di Hospital

 



Setiap hari tanpa jemu Saripah akan melakukan kerja menjaga bayi di wad penjagaan bayi yang baru dilahirkan. Apa yang membuatkan Saripah seronok dengan tugas tersebut kerana sikap yang menyukai kanak-kanak yang memang tersemat di dalam dirinya. Tambahan pula Saripah turut mempunyai seorang cahaya mata yang baru sahaja berusia setahun membuatkan naluri keibuannya terserlah.

Jika sesetengah orang tidak akan selesa dengan tangisan bayi yang laparkan susu atau kerana lampinnya sudah basah, namun bagi Saripah tangisan tersebut seakan satu bunyi yang sudah sebati dalam dirinya. Sebagai ibu dia pernah merasai keadaan tersebut. Memang tidak dapat dinafikan pada mulanya dia juga tidak selesa dengan keadaan tersebut tetapi lama kelamaan dia telah biasa dan lali.

Setelah 2 bulan ditugaskan bekerja syift siang, kini tiba gilirannya pula untuk bertugas pada syift malam. Sebagai kakitangan baru, Saripah hanya mampu mengikut jadual tanpa banyak soal. Nasib baik jugalah suaminya bekerja bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang, maka Saripah tidak risau akan penjagaan anaknya di rumah.

Jadual kerja Saripah memerlukannya sentiasa memeriksa bayi-bayi di wad berkenaan agar segala-galanya berjalan dengan sempurna. Selain Saripah, terdapat juga 3 orang jururawat yang bertugas menjaga bayi ini secara bergilir-gilir. Dengan cara ini dapat jugalah mereka berehat sambil melakukan kerja-kerja lain.

Hari pertama bekerja malam,segala-galanya berjalan lancer. Cuma kadang-kadang Saripah dan rakan sekerjanya sibuk sedikit apabila terdapatnya kelahiran baru pada waktu itu. Namun disebabkan diri masing-masing sudah dilatih untuk mengatasi sebarang masalah, setiap tugas mampu dilakukan dengan baik sekali.

TANGISAN KUAT

Begitu juga hari kedua. Segala-galanya baik dan ini membuatkan Saripah berasa senang walaupun ditugaskan pada waktu malam. Namun begitu pada malam yang ke-3, sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku ketika tiba giliran Saripah member minum susu kepada
bayi-bayi yang terjaga pada pukul 2 pagi.

Tangisan seorang bayi lelaki yang agak kuat memecah keheningan awal pagi membuatkan Saripah yang baru bertukar giliran berasa amat terkejut. Sepanjang pengalamannya bekerja, tidak pernah dia mendengar bunyi tangisan yang sebegitu.

Sedang Saripah tergesa-gesa mahu menuju ke bilik yang menempatkan katil bayi tersebut, tiba-tiba dia mendengar suara seorang wanita yang mahukannya agar cepat ke sana. Terkejut juga Saripah mendengar suara itu, sebab setahunya pada waktu begini tiada ibu-ibu yang terjaga. Mungkin itu hanya khayalannya. Fikir Saripah dalam hati.

Sebaik sahaja Saripah sampai ke dalam bilik tersebut, dia berasa amat terkejut apabila melihat bayangan seorang wanita berada di luar cermin bilik itu. Tambah menghairankannya ialah cermin tersebut pula menghala ke balkoni luar dan tidak ada tempat berpijak yang cukup walaupun untuk seorang insan.

Saripah agak kaget, tasingan bayi tersebut tidak diendahkan. Apa yang terdetik di hatinya ketika itu ialah menyelamatkan wanita tersebut dari terjatuh. Tanpa membuang masa Sarimah pun menuju ke cermin tingkap yang boleh dibuka bersebelahan dengan balkoni tersebut. Namun belum sempat Saripah tiba di situ, tiba-tiba bayangan tersebut terbang dengan pantas. Saripah berasa terkejut dan menjerit ketakutan.

Apabila mendengar jeritan Saripah itu, dua orang rakannya yang berada berhampiran bergegas mendapatkannya. Sebaik sahaja mereka sampai di bilik tersebut, segera mereka mendapatkan Saripah. Beberapa ketika kemudian Saripah tersedar dari terkejut lalu mendapatkan bayi yang menangis itu. Nasib baik tiada apa-apa yang berlaku pada bayi lelaki itu.

Setelah berpuas hati dengan keadaan bayi itu, barulah Saripah menceritakan keadaan yang berlaku pada rakannya. Terkejut juga mereka sebab sewaktu mereka bertugas tiada apa-apa yang berlaku.

Saripah tidak berpuas hati dengan kejadian tersebut. Terus sahaja dia mengambil keputusan untuk menyiasat bayi siapa yang menangis dan mengapa bayangan tersebut berada di sana. Setelah disiasat barulah Saripah faham apa yang berlaku.

Ibu bayi tersebut sebenarnya telah meninggal dunia sebaik sahaja bayi tersebut dilahirkan. Mungkin disebabkan rindu dan kasihan dengan anaknya, roh wanita tersebut datang melawat anaknya pada malam itu.